Wednesday, October 16, 2019

Gudang Pahala Untuk Wanita Adalah Di Rumah

Anak-anak Mama,

Mama ada dengar kuliah Ustazah Asma Harun lagi. Mama suka tajuknya yang mana mama tujukan khas untuk anak perempuan mama. Ambillah ia sebagai ilmu dan peringatan ketika anak mama sudah berkahwin nanti. Untuk anak lelaki mama pula perlu ambil tahu juga supaya berhemah dan menyantuni isteri dengan baik.



Sabda Rasullullah S.A.W. yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga harga dirinya, dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat kelak dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai (sesuai dengan pilihannya)" - direkodkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad 

Di sini mama senaraikan isi-isi penting dari video di atas :

  • Isteri akan sentiasa diuji daripada suami sampai mati supaya para isteri akan dicatat oleh Allah sebagai orang-orang yang sabar. Mati sebagai orang yang sabar adalah mati yang paling beruntung kerana ramai di kalangan ahli syurga Allah terdiri daripada orang-orang yang sabar (para Nabi dan para wali-wali Allah).
  • Isteri perlu hormat suami tanpa syarat kerana Allah telah memuliakan kita tanpa syarat. Allah telah memberi kita rezeki tanpa syarat. Sekiranya Allah memberi syarat pada hamba-hambaNya sudah pasti kita tidak tahu apa yang selaku pada kita sekarang ini. MasyaAllah. Jadi, kita perlu taat perintah Allah tanpa syarat. Isteri perlu taat pada suami adalah perintah dari Allah. Jadi isteri perlu taat pada perintah suami kerana Allah, bukan kerana suami. 
  • Jangan sesekali kecewa dengan harapan.
  • Selepas diuji dengan Allah, kita perlu lepaskan ujian itu. Jangan dipegang ujian itu terlalu lama di dalam hati, nanti kita sendiri yang sakit. Serahkan semula ujian itu kepada Allah. "Ya Allah Ya Basir (Allah Yang Maha Melihat), Ya Allah Ya Shahid (Allah Yang Maha Menyaksikan). Engkau melihat penderitaanku. Aku serahkan ujian ini kepadaMu Ya Allah."
  • Tanda Allah sayang kepada hambaNya, Allah tidak akan biarkan satu hari berlalu tanpa diberi pahala sabar kepada kita. Dan sabar ini tidak akan datang bergolek. Sabar ini akan datang dari peristiwa, dari makhluk di sekeliling kita dan sabar akan datang dari orang yang paling dekat dengan kita iaitu suami
نَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah, yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas" - Surah Az-Zumar : Ayat 10


Anak mama, diri kita ini sangat istimewa bila Allah jadikan kita sebagai wanita kerana Allah benarkan kita masuk dari mana-mana pintu syurga dengan empat perkara di atas iaitu melakukan solat lima waktuberpuasa pada bulan Ramadhanmenjaga harga dirinya, dan mentaati perintah suami. Pahala sabar kita adalah daripada suami. Yang uji kita adalah Allah, suami hanya sebagai perantaraan.

Rasullullah S.A.W. bersabda : "Apabila hambaKu diuji Aku akan mengutuskan bersama ujian tersebut malaikat bersamanya dan Aku akan bertanya dan sekiranya hambaKu itu terima dengan redha dan sabar dia berhak mendapat redhaKu yakni syurga Allah. Tetapi sekiranya hambaKu menerima ujian itu dengan marah dia juga akan mendapat kemarahanKu" - Hadis Qudsi.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 156 dan 157

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Anak-anak mama, selepas kita diuji bacalah إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ dan segera redhalah dengan ujian Allah supaya anak-anak mama terima rahmat dari Allah.

Semoga anak-anak mama tergolong bersama orang-orang yang sabar. Aamiinn...

Salam sayang,
Mama & Ayah





No comments:

Post a Comment

Hadith : Allah Perkenan Doa

Anak-anak Mama, Mama nak share hadith yang mama baca di library... hadith Sahih Bukhari : 609 Diberitahu oleh 'Ubbadah bin Shamit ba...