Tuesday, October 22, 2019

Hadith : Allah Perkenan Doa

Anak-anak Mama,

Mama nak share hadith yang mama baca di library... hadith Sahih Bukhari : 609

Diberitahu oleh 'Ubbadah bin Shamit bahawa Nabi S.A.W. bersabda, " Barangsiapa bangun tengah malam lalu membaca

لا إلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَريكَ لَهُ
Tidak ada sembahan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa

لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ ؛ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya segala kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatunya

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ الله، وَاللهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah

اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي
Ya Allah ampunilah aku



Jika dia berdoa, diperkenankan doanya.
Jika dia mengambil wudu' lalu dia bersolat, diterima Allah solatnya.


Salam sayang,
Mama & Ayah

Monday, October 21, 2019

ALLAH SEBAGAI “ SHARE HOLDER”

Anak-anak Mama,

Di sini mama kongsikan kisah yang mama dapat dari bacaan mama untuk dijadikan panduan dan pengajaran untuk anak-anak mama.

ALLAH SEBAGAI “ SHARE HOLDER”
Seorang jutawan Mesir dan bernama Solah Atiyyah. Pada permulaan ceritanya, ia terjadi di suatu daerah terpencil yang bernama Tafahna Asyraf, pekannya adalah di Mit Ghamr iaitu salah satu daerah yang bernaung di bawah negeri Daqahliah di Mesir.
Kisahnya bagi saya amat menarik.
Ia bermula apabila ada 9 orang sahabat yang telah pun tamat pengajian mereka di satu universiti pertanian dan ternakan di Mesir. Mereka ini mengalami masalah kewangan yang mencengkam hidup mereka. Sehinggalah mereka berazam untuk cuba mulakan hidup mereka dengan membuat suatu pekerjaan. Maka mereka memilih untuk menternak ayam yang sesuai dengan kemahiran yang mereka ada. Tetapi, mereka mencari orang yang ke sepuluh untuk dijadikan rakan kongsi yang boleh mereka kongsikan.
Tunggu punya tunggu orang ke sepuluh masih belum ada.
Mereka bersembilan ini mula mengumpulkan modal setiap seorang sebanyak 200 pound Egypt.
Ada yang menjual gelang emas rantai isteri. 200 pound (RM50) atau junaih Mesir ini teramat amat sedikit sebenarnya. Tetapi bagi mereka amat besar untuk pertama kalinya mereka memulakan perniagaan.
Tiba tiba.
Datang salah seorang dari sahabat yang 9 orang ini yang bernama Ir. Solah Atiyyah. Solah Atiyyah ini berasal dari keluarga Faqir Miskin yg hidup dlm keadaan kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Diceritakan semasa kecilnya dia tidak pernah memakai baju baru. Bapanya hanya mampu membelikan baju “bundle” utk keluarganya. Beliau berkata, aku sudah temukan orang yang ke sepuluh yang bakal join syarikat kita. Maka sahabat-sahabatnya bertanya, siapa dia?
Maka Solah Atiyyah pun berkata; " Dia adalah ALLAH..!!”
Allah akan jadi yang ke sepuluh yang akan campuri urusan perniagaan kita. Jika ada keuntungan, 10 % peratus kita beri pada Allah SWT dan kita sepakat untuk biarkan Allah uruskan syarikat kita. Menjaga, melindungi, dan berikan keamanan daripada dugaan dan keuntungan.”
Maka semua bersetuju dengan janji ini dan surat perjanjian pun ditanda tangani. Dengan menjadikan Allah yang sebagai “ Share Holder” kesepuluh dalam syarikat ini dan 10 peratus dari keuntungan ini adalah hak milik Allah.
Sebagai ganti, Allah menjaga segala apa apa yang berkaitan dengan keamanan keuntungan syarikat, maka selesai ditanda tangani di bulan itu. Maka bermulalah misi perniagaan mereka. Mereka mulakan dengan ladang ternakan Ayam secara kecil-kecilan. Pusingan modal yang pertama itu menghasilkan keuntungan yang sangat besar dengan izin Allah. Masuk pusingan modal yang kedua, semua bersepakat untuk menaikkan peruntukkan hasil keuntungan sebanyak 20 peratus untuk Allah.
Sehinggalah semakin hari semakin bertambah keuntungan. 
Suatu hari mereka menaikkan peruntukkan untuk Allah sebanyak 50 peratus dari hasil keuntungan.
Di sini ada persoalan, bagaimana caranya mereka menggunakan keuntungan yang di beri kepada yang kesepuluh itu iaitu Allah?
Dengan cara.
Mereka membina sekolah agama untuk peringkat tadika iaitu taska untuk kanak-kanak lelaki.
Kemudian mereka membina sekolah agama tadika untuk kanak-kanak perempuan.
Kemudian mereka membina maahad Al Azhar untuk peringkat rendah bagi lelaki.
Kemudian mereka membina sekolah maahad Al Azhar rendah bagi perempuan.
Kemudian mereka membina maahad Al Azhar peringkat menengah untuk lelaki dan juga perempuan.
Kemudian, disebabkan keuntungan yang berlipat kali ganda.
Mereka pun mula membangunkan Baitul Mal untuk membantu orang-orang susah.
Kemudian mereka mula memikirkan untuk membina sebuah cawangan Universiti Al Azhar di dalam kampung itu.
Pada mulanya mereka mula membuka peluang kerja bagi yang memerlukan.
Tetapi ramai yang menolak kerana kampung itu tidak ada pengangkutan yang mudah dan tiada stesen keretapi untuk menghubungkan mana mana tempat dengan mudah serta kebiasaannya kuliah Universiti mestilah di bandar besar bukan di kampung. Disebabkan tiada orang yang mahu berkerja di universiti yang di bangunkan. Mereka pun berfikir untuk membina sebuah station keretapi yang memudahkan orang untuk datang ke kampung itu. Dan mereka pun membuka peluang kerja ini kepada sesiapa yang mahu. Dan untuk pertama kalinya, dalam sejarah Mesir terbinanya sebuah cawangan Universiti Al Azhar di dalam satu kampung yang kecil. Dan Universiti daripada satu bertambah besar jadi dua, tiga dan empat.
Kemudian mereka membina Asrama untuk pelajar yang memuatkan seramai 600 orang pelajar dan mereka membina asrama pelajar yang memuatkan seramai 1000 orang pelajar. Mereka berjaya pula membuat stesen keretapi. Sehinggakan para pelajar boleh mendapatkan tiket percuma untuk mereka pulang ke kampung. Mereka berjaya membina Baitulmal sehingga tiada seorang pun yang fakir di kampung itu. Kemudian mereka cuba untuk buat perkara yang sama di kampung-kampung berhampiran.
Sepanjang kerja ini berjalan, sekali pun Syeikh Ir Solah Atiyyah tidak menziarahi kampung ini melainkan ia hanya ziarah di Baitulmal yang di cipta oleh mereka. Syekh Solah berkerja di situ.
Maka mereka dapat membantu orang fakir, janda-janda dan orang-orang yang tiada pekerjaan, diberi peluang kerja. Kemudian, mereka dapat mengagih-agihkankan makanan berupakan sayur sayuran, bijirin-bijirin hasil dari keuntungan. Di beri kepada masyarakat yang memerlukan atau yang tidak memerlukan.
Pada bulan ramadan, mereka membuat iftar majlis berbuka puasa secara beramai ramai di bawah khemah besar yang diberi kepada sesiapa sahaja yang datang. Kemudian mereka berjaya mengahwinkan perempuan-perempuan anak anak yatim. Dan ini adalah sedikit sebanyak kebaikan yang di lakukan oleh mereka bersembilan antaranya adalah Syekh Solah Atiah. Penghujungnya semua bersepakat yang syarikat mereka adalah milik Allah. Yang mana Ir. Solah Atiyyah ini telah menukar daripada asalnya Allah adalah rakan kongsi yang kesepuluh.
Akhirnya,beliau telah meletakkan jawatan sebagai salah seorang pemegang saham dan bekerja sebagai pekerja biasa yang mendapat gaji bulanan seperti pekerja yang lain. Saham yg beliau miliki selama ini telah diserahkan 100% pada Allah. Akhirnya mereka menyerahkan sepenuhnya jiwa mereka untuk berkhidmat pada Allah membantu ummat tetapi mereka meletakkan syarat pada Allah, supaya Allah tidak memberikan mereka kefakiran.
Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 12hb January 2016 ketika berumur 70 tahun.
Beliau dan rakan-rakannya telah menginfaqkan puluhan juta pound Mesir untuk masyarakat setempat.

KERJA KUAT ANAK-ANAKKU DEMI AGAMAMU DAN AKHIRATMU


Salam sayang,
Mama & Ayah
Kredit : Muhammad Marwan

Wednesday, October 16, 2019

Gudang Pahala Untuk Wanita Adalah Di Rumah

Anak-anak Mama,

Mama ada dengar kuliah Ustazah Asma Harun lagi. Mama suka tajuknya yang mana mama tujukan khas untuk anak perempuan mama. Ambillah ia sebagai ilmu dan peringatan ketika anak mama sudah berkahwin nanti. Untuk anak lelaki mama pula perlu ambil tahu juga supaya berhemah dan menyantuni isteri dengan baik.



Sabda Rasullullah S.A.W. yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga harga dirinya, dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat kelak dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai (sesuai dengan pilihannya)" - direkodkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad 

Di sini mama senaraikan isi-isi penting dari video di atas :

  • Isteri akan sentiasa diuji daripada suami sampai mati supaya para isteri akan dicatat oleh Allah sebagai orang-orang yang sabar. Mati sebagai orang yang sabar adalah mati yang paling beruntung kerana ramai di kalangan ahli syurga Allah terdiri daripada orang-orang yang sabar (para Nabi dan para wali-wali Allah).
  • Isteri perlu hormat suami tanpa syarat kerana Allah telah memuliakan kita tanpa syarat. Allah telah memberi kita rezeki tanpa syarat. Sekiranya Allah memberi syarat pada hamba-hambaNya sudah pasti kita tidak tahu apa yang selaku pada kita sekarang ini. MasyaAllah. Jadi, kita perlu taat perintah Allah tanpa syarat. Isteri perlu taat pada suami adalah perintah dari Allah. Jadi isteri perlu taat pada perintah suami kerana Allah, bukan kerana suami. 
  • Jangan sesekali kecewa dengan harapan.
  • Selepas diuji dengan Allah, kita perlu lepaskan ujian itu. Jangan dipegang ujian itu terlalu lama di dalam hati, nanti kita sendiri yang sakit. Serahkan semula ujian itu kepada Allah. "Ya Allah Ya Basir (Allah Yang Maha Melihat), Ya Allah Ya Shahid (Allah Yang Maha Menyaksikan). Engkau melihat penderitaanku. Aku serahkan ujian ini kepadaMu Ya Allah."
  • Tanda Allah sayang kepada hambaNya, Allah tidak akan biarkan satu hari berlalu tanpa diberi pahala sabar kepada kita. Dan sabar ini tidak akan datang bergolek. Sabar ini akan datang dari peristiwa, dari makhluk di sekeliling kita dan sabar akan datang dari orang yang paling dekat dengan kita iaitu suami
نَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah, yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas" - Surah Az-Zumar : Ayat 10


Anak mama, diri kita ini sangat istimewa bila Allah jadikan kita sebagai wanita kerana Allah benarkan kita masuk dari mana-mana pintu syurga dengan empat perkara di atas iaitu melakukan solat lima waktuberpuasa pada bulan Ramadhanmenjaga harga dirinya, dan mentaati perintah suami. Pahala sabar kita adalah daripada suami. Yang uji kita adalah Allah, suami hanya sebagai perantaraan.

Rasullullah S.A.W. bersabda : "Apabila hambaKu diuji Aku akan mengutuskan bersama ujian tersebut malaikat bersamanya dan Aku akan bertanya dan sekiranya hambaKu itu terima dengan redha dan sabar dia berhak mendapat redhaKu yakni syurga Allah. Tetapi sekiranya hambaKu menerima ujian itu dengan marah dia juga akan mendapat kemarahanKu" - Hadis Qudsi.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 156 dan 157

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Anak-anak mama, selepas kita diuji bacalah إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ dan segera redhalah dengan ujian Allah supaya anak-anak mama terima rahmat dari Allah.

Semoga anak-anak mama tergolong bersama orang-orang yang sabar. Aamiinn...

Salam sayang,
Mama & Ayah





Tuesday, October 15, 2019

Doa Mengadu Kepada Allah - Surah Al Ghafir Ayat 44

Anak-anak Mama,

Mama ada terdengar cerita Ustazah Asma Harun, ujian beliau yang mungkin akan dibuang rahim selepas bersalinkan anaknya yang ke-7. Dalam cerita ni, ustazah ada kongsikan doa untuk kita amalkan atau zikirkan ketika kita ditimpa musibah.

Doa ini dikongsikan oleh guru ustazah sendiri, dari Surah Al-Ghafir (Pengampun) : ayat 44

وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ

"Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya".

Bila anak-anak mama ditimba masalah, mengadulah hanya kepada Allah dengan zikirkan ayat ini. InsyaaAllah Allah akan bantu. Yakinlah dengan Allah.

Bawah ini mama kongsikan video cerita ustazah ni. Dengarlah kisahnya. Semoga anak-anak mama boleh ambil pengajaran dan amalkannya ya. 




Salam sayang,
Mama & Ayah



Segeralah Redha Dengan Ujian Allah

Anak-anak Mama,

Hidup ini penuh dengan ujian, cabaran dan dugaan yang sudah tentu akan melemahkan semangat kita. Tetapi anak-anak mama kena sentiasa ingat yang ujian, cabaran dan dugaan ini adalah dari Allah S.W.T. Allah turunkan ujian ke atas diri kita supaya kita balik pada Allah, supaya kita mengadu kepada Allah dan supaya kita minta pertolongan hanya kepada Allah.

Namun, apa yang penting... setiap kali diuji oleh Allah dari sekecil-kecil ujian hingga sebesar-besar ujian, ucaplah

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali"
Surah Al-Baqarah : Ayat 156

Ingat sayang-sayang mama, setiap kali diri rasa diuji maka zikirkanlah ayat di atas sambil lapangkanlah hati. InsyaaAllah, hati akan lebih tenang dan rasa aman. Mama pernah lalui beberapa ujian dan ayat inilah yang menjadi zikir mama sehingga hati mama tenang kembali dan redha dengan ujian Allah.

Anak-anak Mama, 

Selain dari zikirkan ayat di atas, cepat-cepatlah redha dengan ujian Allah. InsyaaAllah kita akan nampak hikmah dan rahmah dengan sekelip mata apa sebenarnya yang Allah hendak berikan atau sampaikan pada kita. 

Mama ada jumpa video ceramah Ustazah Asma Harun menceritakan pengalaman beliau berjumpa dengan orang yang diuji dan segera redha dengan ujian Allah. MasyaaAllah, cepat Allah berikan rahmah dalam hidupnya. Anak-anak Mama tonton ya...


Dah tonton video di atas? MasyaaAllah... besarkan rahmat Allah untuk mereka yang cepat redha dengan ujianNya. 

InsyaaAllah, mama doakan semoga anak-anak Mama tabah dan cepat redha dengan setiap ujian Allah. Aamiinn...


Salam sayang,
Mama & Ayah



Hadith : Allah Perkenan Doa

Anak-anak Mama, Mama nak share hadith yang mama baca di library... hadith Sahih Bukhari : 609 Diberitahu oleh 'Ubbadah bin Shamit ba...